Tuesday, March 8, 2011

Broga oh Broga

Orang tua-tua kata, tak cuba tak tahu. Belum cuba belum tahu. Dah banyak kali saya dengar cerita pasal Bukit Broga. Yang menarik dan yang tidak. Yang menariknya ada pendaki yang datang seawal 4.30pagi. Khabarnya nak saksi peristiwa matahari naik (macam mendaki Gunung kinabalu saja). Khabarnya amat mengujakan. yang tak menariknya pula cerita-cerita betapa tidak selamatnya pendaki yang kurang pengalaman atau mereka yang mendaki secara suka-suka tanpa apa-apa persediaan. Terakhir seorang penuntut Uitm terjatuh, telanggar batu dan meninggal.
Sebenarnya setiap kali saya ke rumah anak di Pelangi Semenyih, teringin sangat nak mencuba mendaki Bukit Beroga ni. Tapi tak pernah kesampaian. Tup, tup baru-baru ini anak dan menantu berserta cucu mengajak saya ke sana. menantu berusia 34 tahun, yang si anak pula berusia 23 tahun, cucu pula masing berusia 4 serta 6 tahun dan saya sendiri dah mencecah 60 tahun! Satu pasukan yang menakjubkan. Manyilang usia.
Dipendekkan cerita pagi-pagi Ahad yang lalu, kami 5 beranak cucu bergegas ke Broga seawal 7.00 pagi. Sampai saja di ladang kelapa sawit yang menempatkan parkir2 kereta dan motor dah ramai manusia yang mendahului kami. Hampir tiada ruang nak parking. Selepas membayar parking tanpa tiket , puas juga pusing-pusing cari tempat parking. Congak punya congak, wah dah ada hampir 80 buah kereta. Tak kira lagi motorsikal. Kami mula berjalan menuju ke kawasan pinggir ladang kelapa sawit, sambil berselisih dengan pendaki yang mula turun, siap lampu di kepala masih melekat! Fikir-fikir sempat pulak kah mereka solat subuh. Mungkin sempat kut. Tak kan tak ada tempat solat atau tempat mengambil wuduk! Perjalanan mendaki memang seronok. Apatah lagi diselang seli dengan pendaki-pendaki yang rajin mengacah cucu-cucu saya yang dua orang tu. Alhamdulillah mereka berdua kian bersemangat. Agaknya hasil dari pujian-pujian yang tak putus2 tu.
Sesampai di kawasan gersang tanpa tumbuhan kecuali rumput dan lalang membuatkan saya cemas. manakan tidak. Tiada apa-apa pun untuk dipegang untuk menyelamatkan diri sekiranya tergelongsor ke bawah menghentam batu-batu besar. Tidak ada pondok-pondok rehat untuk berteduh dari hujan , panas atau angin ribut. Eh, agaknya pegawai-pegawai atau kakitangan majlis daerah atau pejabat daerah tak pernah mendaki agaknya. Jemput2lah pegawai daerah atau penghulu naik ke atas. Lebih hebat lagi jemput pula Menteri kebudayaan , Belia dan sukan. Anjur BROGATON. Tentu ramai pemberita atau penulis2 sedang naik dapat buat coverage yang sensasi!
Anak dan menantu dah tak mau teruskan mendaki, kerana cucu dah nampak keletihan. Saya sambung.
Ada 4 puncak lagi sebelum sampai ke puncak yang terakhir. Sepanjang jalan tiada apa pun kemudahan keselamatan yang disediakan oleh pihak berwajib untuk membantu pendaki sampai ke puncak. Yang paling menakutkan pulak tu hampir sampai ke puncak tertinggi kita terpaksa menempuh halangan dua batu besar yang agak sukar di daki apatah lagi oleh mereka yang berbadan besar atau sedikit gemuk. Ada la tali kecil dan dah uzur kat situ. Agaknya tali keledar kereta yang entah berapa tahun usianya. Bayangkan tali sekecil serta seuzur tu nak tampung berat70-100 kg. Masyaallah. bila2 masa saja boleh putus.
Perjalanan turun lebih menakutkan kerana tidak ada tempat untuk berpegang! Sampai ke kawasan berpokok renek agak lega sikit. Itu pun memerlukan tali juga untuk mengelakkan daripada terjatuh.
Broga di kakinya hutan kelapa sawit! Di puncaknya bukit gondol. Tempat penduduk setempat berrekreasi di hujung minggu. Pemandangan di puncaknya indah.
Ayuh pihak-pihak yang berwajib lakukan sesuatu, agar Bukit Broga menjadi tempat rekreasi yang selamat dan mudah dikunjungi ramai!
Cadangan saya :

1) Kerajaan beli kawasan kebun sawit untuk dijadikan tempat meletak kereta dan menyediakan
prasarana yang perlu
2) Kerajaan sediakan papan-papan tanda amaran/ panduan pendaki
3) Kerajaan mendirikan sekurang2nya 3 wakaf atau pondok rehat
4) Kerajaan sediakan tempat solat di puncak. Alangkah indahnya kalau dapat melakukan solat
subuh berjemaah di atas.
5) Kerajaan sediakan kemudahan tali di sepanjang jalan yang tidak berpokok serta di puncak
6) Kerajaan sediakan papan tanda maran di bawah sekiranya pendakian tidak sesuai kerana hujan,
kabus tebal, pokok tumbang dan sebagainya

Tuesday, March 10, 2009

Selamat Datang

Blog ini dibina khusus untuk memberi peluang kepada semua peminat basikal darah baling untuk berkomunikasi di antara satu sama lain melalui siber. Di samping itu, blog ini boleh menjadi laman peminat basikal menyampaikan pengalaman masing-masing tanpa mengira usia atau keturunan mau pun jantina. Melalui blog ini amatlah diharapkan peminat-peminat basikal/atau berbasikaldapat memuatkan alamat(jika tidak keberatan), nombor telefon atau email- agar kemudian hari kita boleh berhubung dengan yang lain untuk mengatur aktiviti riadah demi mengekalkan kesihatan yang unggul. Kita amat berharap laman ini tidak digunakan oleh individu tertentu untuk mengeksploitasi isu-isu politik semasa kerana ini adalah laman R I A D A H. terima kasih.